Search

10 Percutian Pulau Paling Menarik Di Malaysia

percutian di malaysia - women online magazine
Percutian Di Malaysia. Negara kita adalah antara negara yang mempunyai pulau dan pantai yang tercantik di dunia.
Alangkah seronoknya jika berpeluang untuk merehatkan fikiran dengan bercuti-cuti di pulau-pulau yang cantik ini… kan? Jom lihat 10 lokasi pulau dengan pantai yang tercantik di Malaysia, yang mungkin anda boleh lawati bersama keluarga dan teman-teman tersayang.
10 Buah Pulau Percutian Di Malaysia Yang Wajar Anda Kunjungi
  1. Pantai Juara, Pulau Tioman , Pahang
Bagi yang mencari ketenangan di pulau dan jauh dari orang ramai dengan pantai yang cantik, ini adalah tempatnya. Pantai Juara ini terletak di Pulau Tioman, Pahang.
Pulau Tioman Malaysia telah dinamakan sebagai salah satu daripada 10 pulau yang paling indah di dunia oleh majalah Time. Malah ia juga tersenarai antara 100 pulau tercantik di dunia oleh CNN dan kewujudannya kini sedang dipertahankan sebagai antara syurga aktiviti selaman skuba dan gaya hidup pulau yang menyeronokkan
Selain daripada bercuti, terdapat resort yang menyediakan kemudahan kayak, restoran, Wi-Fi , pakej snorkelling yang murah dan sebagainya.Di sini juga terdapat pelbagai tempat penginapan yang menarik mengikut bajet anda seperti Berjaya Tioman Resort, Selesa Tioman, Tunamaya Beach & Spa Resort dan Paya Beach Resort.


  1. Pantai Perhentian Kecil,Pulau Perhentian, Terengganu
Lawatan ke Pulau Tropika ini menjadi kemestian bagi mereka yang sukakan sukan luncur angin, belayar, berkayak dan juga memancing di laut dalam. Selain itu juga, ramai pengunjung ’backpacker’ gemarkan destinasi ini kerana terdapat pelbagai pilihan penginapan dan makanan dengan harga yang berpatutan.
Dikelilingi hutan yang menghijau,pasir pantai yang memutih dan air laut yang membiru, Pulau Perhentian menjadi kawasan perlindungan untuk binatang, burung yang berhijrah dan sebagainya. Pulau Perhentian Kecil mempunyai ‘Long Beach‘ di mana tempat yang paling meriah pada waktu malam di Pulau Perhentian. Di sini terdapat pemandangan indah ketika matahari terbenam.  Anda juga boleh menyewa bot untuk meninjau kawasan di sekitar pulau ini.


  1. Pantai Tanjung Rhu, Langkawi, Kedah
Kebanyakan pelancong di Langkawi berkunjung ke pantai Pantai Cenang, tetapi bagi anda yang inginkan ketenangan, Tanjung Rhu adalah pilihan yang tepat. Terletak di luar Pantai Pasir Hitam, Tanjung Rhu mempunyai salah satu persisiran pantai terbaik Langkawi. Air di kawasan pantai jernih seperti kristal, manakala pasirnya yang halus menjadikan pantai ini tersenarai sebagai salah satu pantai tercantik di dunia.
Di sini,terdapat beberapa gerai di tepi jalan yang menjual makanan popular di Langkawi. Resort penginapan juga disediakan seperti Tanjung Rhu Resort serta Four Seasons Resort bagi mereka yang ingin menginap di sini.


  1. Pantai Pulau Lankayan, Sabah
Mungkin ramai yang tidak mengetahui pulau yang terletak kira-kira 15 km dariSandakan ini. Pulau langkayan ini adalah sebuah pulau batu karang tropika yang amat kecil yang berada di Laut Sulu, terletak di barat laut Pulau Borneo,iaitu di negeri Sabah negeri di Bawah Bayu.
Menariknya pasir di pulau ini yang amat putih hampir menyerupai dengan suasana di pulau Maldives. Pulau ini mempunyai perairan yang dilindungi dan diisytiharkan sebagai sebuah taman laut negara. Di sini turut tersedia resort yang eksklusif, bermakna anda boleh berehat dan menikmati keindahan alam semula jadi.

  1. Pantai Pulau Mataking, Sipadan, Sabah
Pulau Mataking termasuk di dalam kawasan Borneo Nusantara Malaysia dan ia terkenal kerana menjadi sebahagian daripada “syurga penyelam” seperti Pulau Mabul dan Pulau Sipadan.
Pulau ini mempunyai 2 pulau iaitu Mataking Besar dan Mataking Kecil. Kedua-dua bahagian pulau ini dihubungkan secara semulajadi melalui jalan pasir yang sempit, di mana anda boleh berjalan ketika air surut. Walaupun saiz pulau ini kecil iaitu kira-kira 40 ekar,namun anda masih boleh membuat pelbagai aktiviti di sini.
Sekiranya anda ingin datang bercuti ke sini,anda perlu mengambil penerbangan ke Tawau melalui Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu. Anda boleh menggunakan pengangkutan kereta sewa atau van dari bandar Tawau pada siang hari ke Semporna dan dari situ anda boleh menggunakan perkhidmatan bot laju ke Pulau Mataking. Perjalanan ke pulau ini adalah selama 1 jam.

  1. Pantai Pulau Manukan , Sabah
Pulau Manukan adalah pulau kedua terbesar di Taman Tunku Abdul Rahman, Malaysia dan diiktiraf sebagai taman laut negara. Ia terletak di bahagian Malaysia Timur iaitu di negeri Sabah. Perjalanan ke pulau ini menaiki bot mengambil masa selama 10 minit.
Di luar pesisir Pulau Manukan terdapat terumbu karang yang sangat cantik dan pelbagai aktiviti boleh dilakukan termasuklah parasailing, selam scuba dan juga mendaki gunung. Jika anda bercadang untuk menginap di sini,anda bolehlah membuat tempahan di Manukan Island Resort.

percutian di malaysia - women online magazine 2

  1. Pantai Pulau Sapi, Sabah
Pulau Sapi terletak di luar pantai pusat bandar Kota Kinabalu, Sabah dan merupakan tarikan utama di Taman Marin Tunku Abdul Rahman. Air laut dan pantai Pulau Sapi adalah sangat jernih dan mungkin adalah salah satu pantai yang paling indah di Malaysia.
Pada siang hari, pantai ini meriah dengan pelbagai aktiviti pantai seperti skuda dan juga berenang. Sekiranya anda datang dari Hyatt Regency Kinabalu, anda cuma perlu menaiki teksi ataupun berjalan kaki selama 10 minit untuk ke jeti di terminal feri Jesselton Point, Kota Kinabalu.


  1. Pantai Pulau Mabul, Sabah
Pantai ini mungkin salah satu pantai yang menjadi kegemaran pengunjung. Keindahan pantainya yang sangat menakjubkan mungkin akan membuatkan seolah-olah anda ingin tinggal di sini selamanya.
Pulau Mabul ini terletak kira-kira 15 minit dari Pulau Sipadan dengan menaiki bot, ini adalah permata sebenar Laut Selatan. Pulau ini sangat terkenal dengan kecantikannya yang tersendiri kerana dikelilingi pasir putih dan bebas kotoran dan menjadi salah satu tempat kegemaran untuk para penyelam. Selain itu, pulau ini mempunyai pelbagai jenis batu karang dan kedalamannya lautnya sangat sesuai untuk  aktiviti ‘scuba diving’.
Lapangan terbang paling dekat dengan Mabul adalah Tawau. Dari Tawau, anda boleh mengambil teksi atau van mini untuk ke Semporna iaitu sebuah pelabuhan dengan masa pemanduan kira-kira 2 jam. Dari Semporna, anda akan menaiki bot laju untuk sampai ke Pulau Mabul dengan masa perjalanan kira-kira 45 minit.

  1. Pantai Pasir Putih, Pulau Dayang, Mersing , Johor
Sebenarnya, nama rasmi pantai ini adalah pantai Pasir Panjang, seperti yang tercatat di jeti, akan tetapi oleh kerana terlalu banyak pantai yang diberi nama Pantai Pasir Panjang di pulau seluruh Malaysia, iaitu di Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Tioman, jadi
Penggunaan nama Pantai Pasir Putih adalah bersesuaian dan pemandangan di sini adalah sama seperti namanya, pasirnya yang putih,lembut dan tidak tercemar. Pulau Dayang merupakan pulau paling hampir dengan Pulau Aur di Mersing. Pelancong boleh ke pulau ini dengan perjalanan yang mengambil masa selama empat hingga lima jam.
Di sini juga terdapat peralatan selam skuba yang cukup untuk meneroka perairan Mersing yang kaya dengan hidupan marin serta pelbagai jenis ikan. Terdapat beberapa kerusi pantai disediakan oleh Dayang Blues Resort di mana anda boleh bermain air laut di bawah cahaya matahari .Sekiranya anda bercuti bersama rakan-rakan,anda bolehlah meluangkan masa untuk bermain bola tampar pantai di gelanggang yang disediakan oleh resort.


  1. Pantai Pasir Panjang, Pulau Redang , Terengganu
Pulau Redang yang terletak di perairan Laut China Selatan merupakan salah satu daripada sembilan buah pulau yang membentuk taman laut Kepulauan Redang, di negeri Terengganu, Malaysia, serta tapak pemuliharaan penyu yang penting.
Pulau Redang ini juga adalah salah satu pulau yang terbesar dan yang tercantik di pantai timur Malaysia. Pulau ini kini merupakan sebuah pulau peranginan yang amat popular di kalangan orang Malaysia.
Salah satu pantai yang paling cantik di pulau ini ialah Pasir Panjang. Keindahan pasirnya yang serta putih air yang jernih, membuatkan anda dapat melihat batu karang dan ikan hanya beberapa meter dari tepi pantai. Antara kemudahan di pulau ini ialah kegiatan snorkeling.

Nota Kaki: SHARE artikel ini dengan kawan-kawan anda yang gemar bercuti.