Search

Apa Yang Menarik Di Pasar Payang,Terengganu?


Pasar Payang,Terengganu.Ia merupakan salah satu tarikan pelancong di negeri Terengganu.Lokasi strategik Pasar Payang  yang terletak di tebing sungai Terengganu menjadikan pasar ini sentiasa sibuk sejak dahulu hinggalah kini.


Kenali Pasar Payang,Terengganu
Bangunan Pasar Payang,Terengganu ini terdiri daripada bangunan kompleks dua tingkat. Di bahagian bawahnya terdapat gerai basah dan gerai menjual pelbagai kuih-muih tradisional negeri Terengganu.
Manakala,di bahagian atas terdapat pelbagai kedai menjual pelbagai barangan.Bangunan yang terletak berhampiran dengan jeti Shahbandar dan merupakan tempat persinggahan pelancong yang hendak menaiki bot ke pulau-pulau berhampiran.
Uniknya pasar ini adalah daripada segi namanya yang dikatakan diperolehi daripada nama sejenis perahu  yang sering digunakan oleh nelayan di negeri Terengganu sejak dahulu lagi iaitu perahu payang. Hasil tangkapan ikan oleh nelayan akan dijual di pasar ini yang kemudiannya terus mendapat nama Pasar Payang atau orang Terengganu sebut Kedai Payang.
Bazar Warisan,Kompleks Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan premis perniagaan yang terletak di sebelah Pasar Payang,Terengganu ini menyebabkan persekitarannya sesak terutama pada hari Sabtu dan Ahad.
Keunikan Pasar Payang,Terengganu
pasar payang,terengganu - women online magazine 1
1.Pelbagai Barangan Murah Dijual
Pasar utama di Kuala Terengganu ini unik dan menarik dengan pelbagai jenis barangan yang diniagakan. Sebut saja barang yang anda perlukan,tidak kira barangan basah dan kering,hampir semuanya ada di sini.
Antaranya seperti pelbagai jenis kain batik,kain sutera,barangan tembaga dan besi,pakaian siap,kuih-muih, barangan runcit, periuk tanah liat,rempah-ratus,barang kemas dan bermacam-macam lagi.
Menariknya, ramai orang daripada luar Terengganu sanggup datang ke sini semata-mata ingin mendapatkan barangan pada harga murah termasuk peralatan memasak tradisional dan rempah ratus untuk hidangan tradisi Terengganu. Keropok lekor dan produk batik pula antara barangan yang wajib dibeli. Malah,kain sutera berkualiti tinggi boleh diperoleh di sini pada harga RM280 hingga RM350 berbanding negeri yang lain menjualnya pada harga lebih tinggi.
2. Pendapatan Peniaga Boleh Mencecah RM6,000 Sehari!
Kedatangan pelancong ke Pasar Payang,Terengganu yang bertambah sejak cuti sekolah bermula, berbanding hari biasa akan memberikan pendapatan lumayan kepada para peniaga.
Pendapatan sehari secara kasar peniaga ini boleh mencecah RM5,000 hingga RM6,000 menyebabkan kebanyakan para peniaga boleh tersenyum lebar. Ini terjadi kerana kebanyakan pembeli adalah dari pengunjung luar dari Terengganu yang datang untuk membeli pelbagai produk Terengganu.
3. ‘Payang Walk’
Payang Walk merupakan tarikan baru di Pasar Payang Terengganu ini. Hasil inisiatif Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu ini dilihat cukup berpotensi bagi meningkatkan lagi produk pelancongan serta keunikan Pasar Payang,Terengganu serta keunikan bandar Kuala Terengganu yang penuh dengan kisah sejarah yang masih banyak lagi yang belum terokai.
Santai Beca merupakan antara aktiviti yang diadakan untuk menghidupkan Pasar Payang,Terengganu ini sehingga malam. Ia adalah kesinambungan keunikan yang dahulunya beca adalah pengangkutan utama penduduk tempatan ke mana-mana destinasi dalam bandar.
Selain dijadikan tarikan pelancong bagi mengenali budaya Kuala Terengganu dengan lebih dekat,ia juga mampu memberi nafas baru kepada pengayuh beca yang semakin dilupakan semenjak kehadiran kenderaan moden. Dengan sewaan sebanyak RM15.00/beca anda boleh menikmati perjalanan bagi perjalanan dari Pasar Payang ke Kg Cina atau Masjid Abidin pergi dan balik.
Selain itu,pengunjung juga dapat menikmati keindahan panorama Kuala Terengganu dari tengah-tengah Sungai Terengganu yang sungguh indah dan permai dengan menggunakan ‘bot penambang Seberang Takir’ yang beroperasi setiap hari bermula dari jam 5.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari.
Orang ramai turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk memancing serta termasuk bermain congkak, dam aji dan lumba beca.
Di sini juga turut disediakan ruang bagi menunjukkan bakat dan meningkatkan kreativiti seperti mencanting batik, membuat wau, menganyam tikar dan juga menghasilkan ukiran seni seperti melukis mural. Tarikan baru Pasar Payang,Terengganu ini sekaligus mampu meningkatkan pendapatan pengayuh beca, penjual Pasar Payang serta peniaga kecil lain.
Tunggu apa lagi, jom datang ke negeri ‘na na Ganu Kite’!