Search

Ayuh, Bercuti Ke Tempat-Tempat Menarik Di Sekitar Kuala Selangor


Kuala Selangor merupakan bandar dan daerah di Zon Utara Negeri Selangor, Malaysia. Daerah Kuala Selangor bersempadan dengan daerah Klang di bahagian Selatan, Petaling dan Hulu Selangor di sebelah di Timur, manakala Sabak Bernam di sebelah Utara. Di Barat pula ia menghadap Selat Melaka.
Daerah Kuala Selangor mempunyai kawasan seluas 117,844 hektar atau 291,193 ekar. Kuala Selangor semakin menjadi sebutan sebagai tempat pelancongan. Kedudukannya yang strategik dan kepelbagaian sumber semula jadi berjaya menarik perhatian pelancong luar dan dalam negara.

Tempat Menarik di Kuala Selangor


1. Taman Alam Kuala Selangor

Taman Alam Kuala Selangor berkeluasan 296 hektar yang terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu seluas 201 hektar meliputi Hutan Hujan Tropika dan selebihnya merupakan Hutan Paya Bakau. Taman Alam berkonsepkan Taman Burung, di mana pelancong boleh melihat sendiri pelbagai jenis spesis burung yang hidup liar. Terdapat 156 jenis spesis burung antara lain 57 daripadanya adalah burung-burung dari luar negara seperti Rusia dan siberia.

2. Kelip-Kelip Kg. Kuantan

Kampung Kuantan terkenal dengan kelip-kelip. Ada pendapat menyatakan keajaiban Kelip-kelip hanya terdapat di dua tempat sahaja di dunia ini dan salah satunya ada di Kampung Kuantan. Hari ini Kampung Kuantan terkenal dengan keajaiban Kelip-kelip yang bukan sahaja kepada pengunjung tempatan, malahan serata dunia.
Bayaran:
Sebuah sampan termasuk insurans dan jaket keselamatan (Maksima 4 orang)
RM 50.00

3. Pantai Remis Sungai Sembilang
Pantai Remis Kuala Selangor terletak 20km arah selatan Kuala Selangor iaitu di Sg Sembilang, Jeram. Para pengunjung berpeluang berjalan di persisiran pantai sambil menghirup udara segar serta menikmati keindahan alam dan menikmati keenakan makanan laut selain menjalankan aktiviti seperti memancing, mencari hidupan laut seperti kerang dan mentarang, bermain layang-layang dan melihat matahari terbenam.

4. Bukit Malawati
Mengikut sejarah, Bukit Malawati ini pernah ditakluki oleh Belanda dari tangan Sultan Ibrahim pada Julai 1784. Setahun kemudian pada 28 Januari 1785, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Dato’ Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Adb. Majid Pahang, telah menghalau Belanda dalam tempoh satu malam sahaja. Di atas Bukit Malawati terdapat beberapa buah rumah pegawai-pegawai tinggi kerajaan, sebuah rumah rehat, rumah api dan kesan-kesan sejarah.

5. Taman Ikan Air Tawar Kuala Selangor
Taman ini terletak di rezab Hutan Simpan Taman Alam serta kedudukannya bersebelahan dengan Bukit Malawati. Taman ini adalah tempat yang sesuai untuk mempelajari hidupan ikan air tawar, kerana mempunyai sejumlah 1500 ekor ikan daripada 60 spesis ikan air tawar. Di Taman Ikan Air Tawar ini terdapat sebuah galeri yang dapat memberikan maklumat kepada pengunjung mengenai hidupan air tawar, sejarah ikan air tawar di Kuala Selangor, konsep akuarium, jenis ikan dan peralatan yang digunakan untuk menangkap ikan.

6. Tempat Melihat Anak Bulan
Bangunan ini dibina khas bagi melihat anak bulan untuk menetapkan tarikh permulaan berpuasa di bulan Ramadan, Hari Raya Syawal dan Raya Haji.

7. Homestay Sungai Sireh

Homestay Sungai Sireh menjanjikan percutian yang bakal menjadi kenangan seumur hidup, kerana disini pelawat dapat merasai kehidupan kampung dalam suasana dikelilingi panorama keindahan alam semulajadi dengan kehijauan sawah padi dan deruan air sungai mengalir.
Penginapan di Homestay
2 Hari 1 Malam – RM 100
3 Hari 2 Malam – RM 200