Search

Melancong Ke Brunei? Jangan Lupa 9 Tempat Menarik Ni!


Walaupun Brunei Darul Salam merupakan negara yang kecil berbanding negara-negara jirannya, tetapi Negara Brunei mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dilawati. Apa yang menariknya di Brunei adalah hasil kesenian senibinanya yang mampu memukau mata anda bila melihatnya.

Dibawah kami senaraikan tempat menarik di Brunei sebagai rujukan anda jika anda bercadang nak bercuti ke Brunei.

1. Masjid Omar Ali Saifuddin


Selain dari Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Omar Ali Saifuddin juga merupakan masjid yang menjadi tarikan pelancongan di Negara Brunei kerana keindahan senibina dan landskapnya yang dikelilingi dengan air.

Masjid ini dibina pada tahun 1954 dan siap sepenuhnya pada tahun 1958. Lokasi masjid ini yang berdepan dengan sebuah laguna air berwarna biru membuatkan Masjid Omar Ali Saifuddin ini kelihatan seperti terapung.

Jika pada waktu malam, suasana masjid ini lebih menyerlah dengan sinaran lampu berwarna warni di sekeliling dan lagun air.

2. Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah


Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah terletak di Bandar Seri Begawan merupakan masjid yang terbesar di Brunei. Ia dibina bagi memperingati hari ulang tahun ke-25 pemerintahan sultan. Dikenali oleh orang tempatan sebagai Masjid Kiarong kerana ianya terletak di Kampung Kiarong.

Masjid ini dibina pada tahun 1988 dan siap secara rasminya pada tahun 1994. Senibina masjid ini sangat mengkagumkan bagi sesiapa yang melihatnya sama ada dari jauh ataupun dekat lebih-lebih lagi di bahagian dalamnya.

Kompleks bangunan masjid ini terdiri daripada 29 kubah keemasan dan jika anda kesini, jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri keindahan masjid ini bersinar keemasan pada waktu malam.

3. Kampung Ayer


Sekiranya anda datang bercuti ke Negara Brunei, ambil masa anda untuk ke Kampung Ayer yang terletak di Bandar Seri Begawan. Kampung ini berhampiran dengan Masjid Omar Ali Saifuddin.

Apa yang menariknya disini anda boleh bersantai di atas bot sambil melihat keindahan alam disini sampai melihat kampung yang terapung di atas air. Kampung Ayer juga terkenal dengan jolokan Venice of East.

Perkampungan di atas air ini memang unik dengan binaan rumah-rumah melayu serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bekalan elektrik, sekolah, balai polis, balai bomba dan juga hospital. Lebih uniknya pengangkutan utama penduduk kampung, Kampung Ayer ini adalah dengan menggunakan bot.

4. Pasar Malam Gadong

Credit: wanderlustdj.blogspot.com
Pasar Malam Gadong merupakan pasar malam yang menyediakan pelbagai gerai makanan seperti buah-buahan, makanan ringan, ikan bakar, minuman dan goreng-gorengan yang berat. Rata-rata peniaga di sini adalah orang Melayu beragama Islam.

Secara umumnya makanan di Brunei dan Malaysia tiada bezanya. Cuma yang berbeza mungkin hanya pada namanya sahaja. Antara yang popular disini adalah Nasi Katok ianya sama seperti nasi lemak tetapi apa yang nasi katok berbeza kerana pelanggan ada pilihan untuk memilih jenis sambal (ada 3 jenis) sama ada pedas biasa, manis dan sangat pedas.

Selain dari makanan Melayu, di Pasar Malam Gadong juga ada makanan dari Indonesia. Pasar Malam Gadong merupakan tempat menarik di Brunei untuk “Food Hunting” dan melepak bersama kawan-kawan.

5. Pantai Serasa


Pantai Serasa merupakan pantai rekreasi yang popular di Brunei. Kawasan Pantai Serasa ini terjaga dan sering dibersihkan setiap kali selepas air pasang. Pantai ini lebih kepada tempat untuk bersantai dan mengambil angin di tepi pantai. Jika anda datang ke sini pada waktu petang, anda boleh berkelah sambil melihat keindahan pantai sambil menikmati matahari terbenam.

Disini terdapat pelbagai kemudahan untuk riadah seperti jet ski, kayak dan sebagainya. Disini juga terdapat kemudahan asas seperti tandas, tapak BBQ, chalet, swimming pool terbuka dan gerai jualan makanan dan buah-buahan.

Anda juga perlu berhati-hati kerana di pantai ini terdapat buaya air masin. Malah anda boleh melihat ada beberapa tanda amaran di tepi pantai mengenai haiwan reptilia ini.

6. Muzium Alat Kebesaran Diraja

Credit: www.panoramio.com
Muzium ini tidaklah terlalu besar namun ia menyimpan pelbagai khazanah-khazanah yang sangat mewah dan tidak terhingga nilainya. Antara jenis khazanah yang ada di sini ialah alat kebesaran diraja dan juga hadiah-hadiah dari luar kepada kerajaan Negara Brunei.

Jika anda berminat dengan artifak kerajaan seperti emas, kristal, jed, mahkota diraja dan ufti-ufti berharga, muzium ini memang satu-satunya tempat yang wajib anda lawati jika ke Brunei. Tiada kadar bayaran dikenakan untuk masuk ke muzium ini namun anda perlu mengikut peraturan yang ditetapkan untuk masuk ke muzium ini seperti tidak memakai selipar/kasut dan tidak dibenarkan mengambil gambar.

7. Istana Nurul Iman

Credit:  tripfreakz.com
Istana Nurul Iman merupakan sebuah istana yang sangat besar dan tempat tinggal persendirian yang terbesar ada di Brunei dimana istana ini menempatkan sebuah masjid di dalam kompleks banggunan dan dewan.

Setiap tahun, sebanyak 3 kali rumah terbuka yang diadakan di istana ini dan pada masa tersebut pelawat dibenarkan untuk masuk ke dalam istana. Setiap tahun jumlah pengunjung yang datang ke istana ini memncecah lebih daripada 100,000 pengunjung.

Setiap kali berlangsungnya rumah terbuka di istana ini, setiap pengunjung semestinya tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan Sultan Brunei. Setiap pengunjung juga akan dihidangkan dengan jamuan buffet percuma dan diberikan cenderahati. Hanya lelaki yang dibenarkan bertemu dengan Sultan dan bagi perempuan pula boleh bertemu dengan Pemaisurinya.

Memang satu pengalaman yang tidak akan dilupakan sehingga bila-bila jika dapat bersua muka dengan Sultan dan Pemaisuri. Pada waktu lain pula, pelawat hanya boleh melawat sehingga ke pintu utama sahaja dan hanya boleh melihat istana dari luar.

8. Taman Tema Jerudong

Credit: laju-lajunakpergimana.blogspot.com
Sekiranya anda bercuti ke Negara Brunei bersama keluarga, salah satu tempat menarik di Brunei yang menarik untuk dilawati bersama anak adalah di Taman Tema Jerudong. Taman Tema Jerudong ini mempunyai beberapa bahagian untuk permainan seperti bumper car, ferris wheel, roller coaster, go kart dan beberapa lagi permainan lain seperti laser maze, mini golf dan banyak lagi.

Selain daripada permainan-permainan ini, disini juga terdapat taman tema air yang agak menarik untuk anak-anak kecil bersuka ria sepanjang berada disini. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi Taman Tema Jerudong.

9. Taman Rekreasi Tasek Lama

Credit: www.tipadvisor.co.uk
Taman Rekreasi Tasek Lama merupakan taman rekreasi yang terletak hanya beberapa minit dari pusat Bandar Seri Begawan. Tasek Lama terletak di kawasan hutan dibahagian kanan bandar.

Di tengah taman terdapat air terjun kecil yang membentuk aliran anak sungai yang menambahkan lagi nilai alam semulajadi taman rekreasi ini. Disini juga terdapat laluan jalan kaki dan trek jogging. Taman ini memang popular di kalangan orang setempat untuk melakukan senaman pada waktu pagi dan petang.

Semoga percutian anda ke tempat menarik di Brunei ini menjadi satu pengalaman yang indah dan bermakna serta membawa pulang 1001 kenangan.