Search

Seronoknya Bercuti Dengan 15 Aktiviti Ini Di Pulau Boracay, Filipina

Bila sebut Pulau Boracay, perkara yang paling diingati oleh mereka yang pernah ke sana adalah pasirnya yang putih bersih dan airnya yang jernih hingga menyerlahkan tona warna yang menarik.

Malahan pulau ini pernah dinobatkan antara pulau dan pantai tercantik di dunia oleh beberapa organisasi pelancongan.



Baiklah, tanpa buang masa saya kongsikan di sini 15 aktiviti menarik yang boleh anda lakukan jika berkunjung ke Pulau Boracay yang terletak kira-kira 300km di selatan Manila, Filipina.

15 Aktiviti Menarik di Pulau Boracay

Senarai aktiviti ini adalah campuran aktiviti berbayar dan aktiviti percuma yang menarik untuk anda lakukan sewaktu berkunjung ke Pulau Boracay.

1. Menjelajah Cristal Cove.

Pemandangan di pulau ini sangat cantik dan mendamaikan. Airnya juga sangat jernih kehijauan. Jika berpeluang, silalah mandi dan berenang sebentar di sini jika ada yang tolong jagakan barang anda.

Credit: www.amodernwayfarercom
Inilah antara landmark di Cristal Cove untuk lokasi ambil gambar kenangan sebagai bukti telah sampai ke sini. Untuk ke sini anda boleh dapatkan pakej Island Hoping bersama beberapa aktiviti lain antaranya snorkeling dan cliff jumping.

Credit: www.boracaygo.com
Anda perlu turun ke bawah dengan melalui tangga berpusing seperti dalam gambar ini untuk ke bahagian bawah gua kecil. Lelaki di atas adalah Bong, tour guide kami daripada BoracayDiary.com.

Credit: www.travelandbeyond.org
Di bahagian bawah gua ini anda boleh mandi dan lihat airnya yang sangat jernih. Saya tak mandi di sini sebab sibuk snap gambar. Nak snorkeling pun boleh di sini.


Ini pula laluan yang dibina di tepi bukit di Cristal Cove untuk memudahkan pelawat menikmati pemandangan indah di sini.

2. Cliff jumping di Magic Island.

Ini juga aktiviti yang mesti anda buat. Terdapat 4 ketinggian berbeza untuk cabar keberanian anda iaitu 4 meter, 6 meter, 8 meter dan 9 meter. Saya telah cuba yang 6 dan 8 meter. Mungkin jika ada peluang lagi saya akan cuba pada ketinggian 9 meter pula.



Inilah platform untuk melompat dan lakukan cliff jumping di Magic Island. Nampak pulau di depan sana? Ada papan tanda tertulis Cristal Cove di pulau kecil tersebut. Pemandangan di sini? Oh! Memang sangat cantik!


3. Snorkeling.

Air di perairan Pulau Boracay sangat jernih. Yang anda perlu pastikan adalah tour guide bawa anda ke lokasi yang menarik, ada banyak ikan dan terumbu karang. Lagipun kita buat snorkeling untuk lihat keindahan dunia bawah laut, kan?


Melihat dan menikmati pemandangan indah di dasar laut dengan aktiviti snorkeling. Panas pun tak terasa bila dah ke sini. Sedar-sedar dah legam. Haha!



Ini antara pemandangan indah yang dapat di lihat daripada Parau (bot tradisional Filipina) sewaktu kami lakukan aktiviti island hoping. Nampak wind turbine di atas bukit tu? Jika anda pernah ke Australia, Belanda dan negara Eropah pasti biasa nampak wind turbine ni kan? Kat Boracay pun ada. Hehe!

Wind turbine adalah satu kaedah untuk menjana elektrik dengan menggunakan kuasa tiupan angin. Biasanya turbine dipasang di atas bukit berhampiran pantai agar ia mendapat bekalan angin yang mencukupi dan seterusnya menghasilkan tenaga elektrik untuk kegunaan penduduk setempat.
Untuk pakej Island Hoping merangkumi lawatan ke Cristal Cove, bayaran masuk ke Magic Island dan lakukan cliff jumping dan snorkeling, anggaran pakej adalah sekitar 1300 Peso (RM130). Jika anda rajin survey sebaik saja tiba di sini mungkin boleh dapat pada harga lebih murah.

4. Cristal boat di Tambisaan Beach

Merupakan satu lagi aktiviti menarik yang tak wajar anda lepaskan. Melihat ke dasar laut yang mempunyai air yang jernih hanya daripada atas bot kaca memberikan pengalaman yang menarik.

Anggaran harga sekitar 800 ke 1000 Peso (RM800 ke RM100) seorang.



Sedang bersedia untuk aktiviti ini. Sila pakai pakaian yang sesuai. Nak pakai baju renang muslimah pun boleh untuk aktiviti ni sebab masa nak naik atas bot ni pun dah basah hingga ke lutut.

Credit: Melicacy.com
Kami dimaklumkan aktiviti ni tak begitu membasahkan sangat. Rupa-rupanya basah juga hingga ke pinggang. Air pun masuk juga sikit dalam bot. Yang penting kedua-dua yang naik atas bot mesti duduk dan imbangkan bot. Jangan nak senget-senget kat atas ni, ke dalam laut jawabnya nanti.

Roti turut dibekalkan sewaktu aktiviti ini untuk diberi makan pada ikan. Gambar ini di ambil oleh wartawan NST menggunakan kamera saya. Ikutkan hati nak saja bawa sekali kamera sambil mendayung, tapi takut juga kot lah bot terbalik, ke laut pula kamera tu sudahnya.

Oh ya, untuk aktiviti ini kami perlu dayung bot seperti berkayak. Tapi jika sudah penat, boleh saja panggil tour guide. Mereka akan tolong tarik bot ke lokasi yang banyak ikan dan punya pemandangan menarik. Sesekali mengelat apa salahnya. Kami dah penat mendayung sebenarnya. Haha!

5. Parau sunset sailing.

Satu lagi aktiviti yang mesti anda cuba dan rasai kelainannya adalah melihat matahari terbenam dari atas kapal layar yang dipanggil parau. Pelayaran ini mengambil masa sekitar 30 ke 40 minit.

Harga sekitar 200 ke 300 Peso (RM20 ke RM30) seorang.


Parau merupakan kapal layar tradisional orang-orang Pinoy yang mana di bahagian kiri dan kanan bot telah dipasang buluh seakan-akan pangkin.

Kami diberikan jaket keselamatan dan duduk di atas pangkin ini sewaktu bot belayar. Bayangkan seronoknya perasaan disimbah ombak sewaktu bot sedang belayar dan kaki terjuntai ke bawah. Memang mengujakan!

Credit: www.valcaulin.com
Inilah rupa parau dari dekat. Memang tempat duduknya adalah pangkin buluh yang dipasang jaring di sebelah kiri dan kanan bot.

Kat atas bot memang  tak ada tempat duduk yang banyak. Hanya muat untuk 2 ke 3 orang (untuk pengemudi bot) dan juga untuk letak barang-barang kita (termasuk slipar). Nampak tak kotak di sebelah kanan bot tu? Itulah penutup kotak tempat simpan barang-barang kami supaya tak basah.


Inilah pengemudi layar parau ni. Bawalah action cam supaya anda tak terlepas peluang merakam pengalaman menarik ni. Saya sangat-sangat tak galakkan anda bawa kamera biasa yang tidak kalis air sebab air laut menyimbah hingga ke dada sewaktu belayar dengan parau ni.

Dan, pastikan anda dapatkan pakej untuk belayar sewaktu matahari terbenam ye, bukan sebelumnya. Rugilah jika anda bayar pada harga yang sama atau sedikit murah tapi tak dapat nikmati matahari terbenam yang sangat cantik di sini sewaktu sedang belayar dengan parau.

6. Menunggang ATV dan buggy ke Mt Luho.

Di Filipina, pemanduan adalah di sebelah kiri. Tapi usah risau jika anda memandu buggy. Tak sampai 2 minit anda dah terbiasa. Di Mt Luho, anda berpeluang untuk melihat seluruh Pulau Boracay dari atas. Harga sekitar 600 Peso (RM60).
Credit: azyyatiliah.blogspot.com

Sepatutnya kami naik ATV, tapi pada waktu kami sampai hanya ada 1 ATV saja. Yang banyak tersedia adalah buggy. Jika nak naik ATV juga kena tunggu 30 minit lagi. Maka naik je lah buggy, tak nak buang masa.

Selepas 15 ke 20 minit memandu buggy, kami sampai ke lokasi untuk mendaki Mt Luho ini. Jangan risau, tak perlu hiking sebab ada tangga disediakan. Hanya perlu naik tangga hingga ke deck atas.

Dan dihidangkan dengan pemandangan cantik ini.


Ini pula view di sebelah satu lagi. Hilang penat naik tangga lepas tengok ni.

7. Lepak di tepi pantai.

Ah! Pantai lain pun boleh lepak. Ye betul tu. Tapi anda sudah ke sini. Rugi jika tak nikmati pemandangan indah sambil lepak-lepak di pantainya yang putih bersih ni. Bila lagi nak buang segala stress yang bersarang dalam kepala tu kan? Inikan pulau! So let’s get some me time and it’s free.


Sewaktu gambar ini diambil matahari sedang tegak atas kepala. Panas tapi angin bertiup menyegarkan badan disertai pemandangan indah ini.


Selain daripada pasir yang putih di pantai ini, kebersihan di sekitar di pantai Pulau Boracay juga di jaga dengan baik. Tiada sampah yang kelihatan.

Kadang-kala tak perlu kerusi pun. Sekadar lepak dan lihat pemandangan di sini sudah cukup menyeronokkan.

8. Kejar matahari terbenam – Percuma.

Dapatkan spot terbaik anda untuk rakam pemandangan matahari terbenam di sini seawal jam 5 petang. Trip ke Boracay takkan lengkap tanpa aktiviti melihat matahari terbenam.


Menunggu matahari terbenam di Boracay sambil melihata parau yang belayar seolah menari-nari di permukaan air.


Matahari terbenam berlaku dengan pantas di Boracay, sekitar 10 minit saja dan pada ketika saya berada di sini, ia berlaku pada jam 5.35 ke 5.45 petang.

Melihat langit berubah warna sambil menikmati keindahannya seperti alam berbicara melalui seni yang menakjubkan.

9. Window shopping di D’Mall dan D’Talipapa.

Inilah 2 tempat membeli-belah yang terdapat di sini. Sekadar melihat-lihat dan survey harga barang juga satu aktiviti yang menyeronokkan di sini.

Credit: kisahbenar2uc.blogspot.com
Jika dilihat bendera yang dipasang ini, nampaknya Boracay menjadi tumpuan warga dari Korea, China, Belgium, Singapura dan beberapa negara lagi.

Jika anda inginkan cenderahati yang berbeza, cuba lihat-lihat barangan yang ditawarkan oleh peniaga jalanan. Ada antara mereka yang menawarkan cenderahati unik yang tidak ditawarkan di kedai-kedai di sekitar sini.

Credit: -photographymymemories.blogspot.com
Credit: www.slightlyastray.com
Antara barisan kedai yang terdapat di sekitar D’Mall.

10. Bergambar kenangan dengan tarian api (fire dance) – bayaran ikut suka.


Terpulang kepada anda untuk berikan mereka berapa saja sebagai tanda menghargai usaha mereka. Mungkin dalam 50 ke 100 Peso (RM5 ke RM10)

11. Atau ambil gambar kenangan di pantai dengan ukiran pasir seperti ini.

Credit: www.7stonesboracay.com
Bayaran ikut suka. Kira sedekah saja untuk anak-anak ini. Dan ada diantaranya adalah anak-anak Muslim dari Mindanao.

12. Helmet Diving dari serendah 350 Peso (RM35) selama 30 minit.

Lokasi : Station 3. Jika anda bukan penyelam scuba, inilah peluang anda untuk melihat dasar laut dengan menggunakan Helmet Diving. Dengan bayaran 350 Peso ini juga anda akan dapat gambar dan rakaman video sewaktu anda lakukan aktiviti ini. Saya tidak berpeluang lakukan aktivit ini, tapi saya dapat rasakan ia antara aktiviti yang menyeronokkan kerana air di sini yang sangat jernih.

13. Ride the Zorp – 400 Peso ke 500 Peso (RM40 ke RM50).


Selain menunggang ATV dan buggy, anda boleh juga lakukan aktiviti lain seperti menunggang segway dan zorb ride. Kami hanya lakukan aktiviti menunggang buggy.
Saya juga tidak berpeluang lakukan aktiviti ini sewaktu lawatan kali ini. Mungkin di lain waktu, jika ada rezeki.

14. Bergambar di Willy’s Rock – percuma.

Salah satu landmark di Boracay adalah Willy’s Rock. Ia terletak di Station 1. Jika anda berkunjung ke Boracay pastikan ambil gambar kenangan di sini.

Apa Willy’s Rock ni? Ianya adalah pulau kecil di tepi pantai. Di atasnya ada gereja kecil (sangat kecil). Sewaktu air surut, anda boleh berjalan kaki dari pantai ke pulau ni.


Credit:  thirst4lifewordpress.com
Inilah Willy’s Rock yang menjadi antara mercu tanda di Pulau Boracay. Pastikan anda bergambar di sini jika dah sampai ke Boracay.

15. Lepak di Pantai Puka tanpa gangguan.

Credit: backpackingpilipinas.com
Bayaran 23 Peso (RM2.30). Jika anda tak nak diganggu oleh para ejen pakej aktiviti di sini bolehlah berehat dengan aman sambil nikmati bayu laut di pantai ini. Untuk ke sini perlu sewa tuk-tuk dengan bayaran 100 Peso (RM10) dari white beach.

Tak perlu tempah tuk-tuk di kaunter tapi anda perlu berjalan beberapa meter dari pantai hingga jumpa tuk-tuk yang sedang lalu di situ. Tahan saja mereka dan minta hantar ke Puka Beach. Tuk-tuk mudah didapati di Station 2.

AirAsia kini merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan terus ke Kalibo, Filipina 7 hari seminggu tanpa henti untuk membawa anda bercuti ke Pulau Boracay melalui 2 penerbangan berikut:


  • AK608 dari KLIA 2 ke Kalibo (KUL – KLO) bertolak pada jam 10.30 pagi dan tiba di Kalibo pada jam 2.45 petang.
  • AK609 dari Kalibo ke KLIA2 (KLO – KUL) pada jam 3.15 petang dan tiba di KLIA2 pada jam 7 petang.

Kini tiada lagi halangan untuk anda rasai percutian menarik sambil mencuba aktiviti seperti yang telah saya lakukan di atas. Jom ke Boracay!