Search

Jom Layan Kambing BBQ Halal Lagi Kaw di Gangnam, Korea Selatan


Kalau anda datang ke Seoul dan mencari makanan halal yang berjus dan lembut, ini satu rahsia untuk saya kongsi.

Singgah ke Gangnam. Di sini ada sebuah restoran tersorok untuk anda layan kambing BBQ Korea yang yummy, yummy dan yummy.

Nama restorannya? Yang Good Korean BBQ Lamb Restauran.

Tempat ini wajib anda terjah. Bukan apa, tidak senang untuk merasa makanan halal yang sedap lagi menjilat jari di Seoul. Jadi bila ada peluang merasa masakan BBQ unik Korea, jangan lepaskan.

Oleh sebab restoran ini agak terpencil dan bukan berada di sepanjang jalan utama, saya kongsikan alamat dan koordinat GPS restoran ini dulu:

Stesen Subway Terdekat: Yeoksam Station (Line 2)
Jarak dari Stesen Subway: 289 meters (Exit 6)
Daerah: Gangnam
GPS: 37.502177, 127.034696

Apa Ada Di Sini?


Di sini ada banyak pilihan menu halal yang menyelerakan. Dari lamb rack, lamb grilled skewers, boneless lamb sehinggalah ke lamb short loin dan banyak lagi pilihan bahagian lamb.

Cuma sedikit amaran. Pastikan bajet anda cukup sebab harganya tidak murah. Kalau ditukar dengan ringgit, satu hidangan sudah sekitar RM 50 ke atas. Bukan itu sahaja, bajet anda juga mungkin lari sebab kemungkinan anda memesan makanan tambahan pun tinggi.

Daging Empuk, Halal dan Sedap



Daging di sini mungkin mahal sebab kambing segar ini diimport terus dari Australia. Daging kambing itu kemudiannya diperap dengan sos manis Korea.

Pada saya, hidangan kambing di sini cukup istimewa. Bila masuk ke mulut, dagingnya terasa sangat juicy dan tender. Dan satu lagi, ia tiada bau kambing. Yummy!

Untuk seorang peminat daging kambing tegar, terus terang saya kata yang tidak pernah saya makan daging kambing seenak ini di Malaysia.

Kalau anda mahu, anda juga panggang sendiri daging yang anda pilih. Self-service. Side dishes seperti kimchi pula boleh anda refill percuma.

Pendek kata, jika anda berpeluang berkunjung ke Seoul, ini adalah restoran yang anda perlu cuba. InsyaAllah tak menyesal. 

Mengapa Mahal Sangat? Sedikit Info Tentang Kawasan Gangnam, Korea Ini

Anda tentu kenal Psy — penyanyi Korea yang terkenal dengan lagunya ‘Gangnam Style’. Tapi pernahkah anda tertanya-tanya di manakah lokasi Gangnam sebenarnya? Dan apa yang ada di sini sehingga Psy mempopularkannya ke seluruh dunia.

Ini jawapannya. Gangnam sebenarnya adalah kejiranan elit di bahagian selatan Seoul. Bayangkan seperti Beverly Hills yang dicampak di Seoul.

Mereka yang tinggal di Gangnam hanya dari golongan yang gaya hidup mereka cukup mewah. Yang ada di sini ialah mereka berstatus kelas atasan — seperti artis dan ahli politik elit. Tiada remaja yang berpakaian gaya K-Pop yang tinggal di sini, melainkan hanya untuk mengunjungi mall di kawasan tersebut.

Jadi itulah kemungkinan sebab lauk kambing BBQ Korea itu tidak murah. Mungkin disebabkan anda makan dengan Oppa Gangnam Style.