Search

6 Aktiviti Menarik Jika Berkunjung Ke Hutan Mossy Cameron Highland


Terletak di Hutan Simpan Batu Gangan Cameron Highland, Mossy Forest atau Hutan Mossy semakin terkenal dengan keindahan hutan berlumut. Berada di situ seolah-olah tercampak ke dunia asing yang belum pernah dikunjungi.

Foto Kredit mymiee.blogspot.com
Hutan Mossy sememangnya mempesonakan dengan keindahan flora, fauna dan lumut-lumut hujau yang hidup menumpang di atas tanah dan dahan-dahan pokok. Tidak hairanlah ia semakin terkenal dan mendapat kunjungan sama ada pelancong dalam dan luar negara.

Hutan Mossy menjadi pilihan untuk pelbagai aktiviti termasuklah riadah dan seni kreatif. Mari kita ketahui 6 perkara pilihan yang boleh dilakukan oleh pengunjung di Hutan Mossy, Cameron Highland




1. SESI FOTOGRAFI PERKAHWINAN



Foto kredit kepada maxtography.com

Memang indah jika dapat mengabadikan fotografi perkahwinan berlatar belakangkan Hutan Mossy yang diselubungi oleh kehijauan hutannya yang menyerupai dunia fantasi dan misteri. Sesi fotografi perkahwinan di Hutan Mossy seringkali menjadi pilihan pasangan pengantin dari kaum Cina. Pasangan pengantin Melayu dan India boleh juga menjalankan fotografi perkahwinan di sini jika mereka berminat. Tempat yang indah jangan dilepaskan untuk kenangan sekali seumur hidup.

2. MEMAKAI BAJU KURUNG / PAKAIAN TRADISIONAL / PAKAIAN CANTIK-CANTIK


Kredit Foto kepada cercitertashaqisha.blogspot.com

Ala-ala berada dalam dunia fantasi, boleh juga memakai pakaian gaun kembang-kembang seperti Cinderella. Memang sesuai mengambil gambar berpakaian cantik-cantik atau tradisional dalam suasana hutan yang unik seperti dalam filem Lord Of The Rings. Tetapi perlu diingatkan bahawa di dalam Hutan Mossy memang tidak ada kemudahan tandas atau bilik mandi yang boleh anda gunakan untuk menukar pakaian. Jadi, anda kena fikirkan cara bagaimana menukar pakaian dengan sewajarnya.




3. FOTOGRAFI PAKAIAN KOSTUM



Kredit foto kepada Victor Cheung

Berseni bukan foto di atas? Bagi mereka yang kreatif dan mempunyai pakaian kostum yang bertemakan hutan, flora dan fauna, anda boleh jadikan Hutan Mossy sebagai salah satu lokasi untuk sesi fotografi. Lihat saja gambar di atas, hasilnya menarik sekali. Kelihatannya seperti gadis yang menjadi penunggu di rimba.

4. BERSELFIE DENGAN KAMERA GO-PRO


Kredit foto kepada yusainimohdyusof.com

Berselfie sememangnya aktiviti yang seronok terutama ketika melancong dan berselfie beramai ramai (dipanggil wefie) bersama keluarga dan rakan-rakan. Jangan lupa membawa bersama handy monopod untuk merakamkan gambar 360 darjah berlatar belakangkan Hutan Mossy dengan lumut hijau yang misteri.




5. BERKHEMAH



Kredit foto kepada djohanshahrin.wordpress.com

Bagi mereka yang ingin menikmati malam yang diselubungi kesejukan tanah tinggi di hutan yang indah mempesonakan, Hutan Mossy sememangnya sesuai untuk lokasi perkhemahan. Cuaca pada waktu malam sememangnya sejuk sehingga mampu mencapai 18 °C. Namun inilah cabaran yang perlu dihadapi jika anda seorang pencinta alam sekitar yang sejati. Cas-cas positif di Hutan Mossy boleh membuatkan kita bangun pagi dalam keadaan yang segar, bertenaga dan positif. Tapi, perlu diingatkan sekali lagi bahawa Hutan Mossy tidak mempunyai kemudahan tandas dan bilik mandi. Jadi anda perlulah bersedia dengan sedikit kesukaran yang dihadapi terutama untuk membuang air besar dan air kecil.

6. BERKUNJUNG KE MENARA TINJAU DI PUNCAK GUNUNG BRINCHANG


Kredit foto kepada mymiee.blogspot.my

Jika anda berkunjung ke Hutan Mossy, jangan lupa singgah ke Menara Tinjau di Gunung Brinchang. Kedudukan antara kedua-dua tempat ini tidak jauh iaitu kira-kira 1 km sahaja. Ia merupakan menara yang pernah dibina oleh pihak Telekom Malaysia. Menara setinggi 30 meter ini sudah wujud lebih 30 tahun. Ianya dibina daripada besi keluli di puncak Gunung Brinchang iaitu pada kedudukan 2000 meter dari aras laut. Jalan bertar di sini sangat memudahkan pengunjung untuk datang ke sini.

Sekarang anda bolehlah jadikan antara senarai di atas sebagai perkara yang anda boleh lakukan di Hutan Mossy supaya kunjungan anda menjadi lebih bermakna. Bagi anda yang tidak tahu lokasi Hutan Mossy ini, ia terletak di jalan laluan ke Gunung Brinchang. Anda akan melalui Ladang Teh Sungei Palas. Laluan untuk ke Gunung Brinchang adalah sempit dan agak berbahaya. Terdapat kereta yang akan turun kembali ke Brinchang dan naik untuk ke Ladang Teh Sungei Palas dan Gunung Brinchang yang akan berselisih laluan. Bagi yang kurang mahir dalam pemanduan kereta dilaluan sempit, adalah tidak digalakkan memandu sendiri untuk mengelakkan tragedi.

Anda boleh mendapatkan khidmat kenderaan Trak 4WD yang banyak disediakan oleh agensi pelancongan di Cameron Highland.