Search

7 Perkara Menarik Tentang Pasar Pagi Kampung Berjaya Alor Setar


Untuk pengetahuan anda, kami baru sahaja menjejakkan kaki di bumi jelapang padi, Kedah. Namun niat kami untuk bergambar selfie berlatarbelakangkan jelapang padi yang menghijau tidak kesampaian kerana ketika ini Kedah berada dalam keadaan kering kontang. Tak caya try hangpa tanya orang dok Kedah.



Tapi ada perkara yang lagi penting untuk dicari di Kedah iaitu makanan. Untuk trip kali kami ini, kami telah pergi meneroka bumi bertuah yang penuh dengan makanan murah ini. Kebetulan pula kami sempat pergi pasar yang terletak di Kampung Berjaya Alor Setar.

Oh lupa, kami baru tahu, di sini pasar di panggil market (sebut merket). Jom ikuti perjalanan kami meninjau market pada hari Jumaat yang terletak di Kampung Berjaya Alor Setar.

Suasana pagi yang riuh di sini memang menggambarkan ia adalah sebuah pasar. Kami datang sekitar 9 pagi. Selesai saja meletak kenderaan, kami rancang mahu pusing dulu di sekitar market ini untuk melihat apa yang ada di sini.

Difahamkan, keadaan di sini katanya lebih kurang seperti di pasar karat. Memang ada pelbagai pembahagian di sini. Barangan yang dijual di sini boleh tahan juga. Selain itu, ada yang jual buah-buahan, minyak ‘kuat’, sayur-sayuran dan pastinya makanan.




1. Apam Lenggang



Apam Lenggang yang rasanya manis ini sangat unik cara pembuatannya. Pertama sekali, kena letak dulu bancuhan di dalam kuali kecil kemudian setelah agak masak, apam yang leper ini akan dikeluarkan dan diletakkan pula di atas kuali leper dan digulungkan.



Kami rasanya ia menarik sebab tidak pernah tengok.




2. Peknga adalah nama lain bagi lempeng





Menurut mak cik yang menjual peknga di sini, lempeng biasa lebih mudah dibuat berbanding lempeng pisang. Kami juga diberitahu peknga mendapat nama daripada lempeng yang ditepek pada belanga. Tepek dan belanga maka jadinya peknga.

3. Roti Hamlet







Kami jarang jumpa roti hamlet dan jika ada biasanya pada bulan puasa. Rotik hamlet ialah roti dan sosej yang dibalut telur dadar. Daripada jauh kami tengok seperti nasi pattaya tetapi bukan.




4. Nasi Kuning





Ketika artikel ini ditulis kami masih belum jumpa sebab kenapa kebanyakan nasi yang ada di sini berwarna kuning. Pada lidah kami, campuran yang ada di dalam nasi warna kuning ini memang menarik. Tips makan untuk di Kedah ialah, jika perut anda rasa mahu tambah lagi, jangan tambah.

Nanti perut mahu diisi dengan air pula. Lagipun, bukankah banyak lagi makanan yang perlu dimakan di sini.

5. Ramai penebar roti canai wanita di sini







Jika kebanyakan penebar roi canai di ibu kota adalah mamak ataupun lelaki, di market ini kami lihat kebanyakan yang menebar roti canai adalah datangnya daripada wanita. Lebih daripada 4 gerai roti canai di sini dan mereka semua adalah penebar roti canai professional.

6. Pulut Udang adalah pulut panggang





Bila sebut pulut udang, kami bayangkan apa yang ada di dalamnya ialah udang yang dipotong kecil-kecil. Rupa-rupanya ia adalah sama dengan pulut panggang

7. Pasar karat yang paling banyak jual topi keledar



Kami tidak tahu rupanya topi keledar terpakai rupanya mendapat permintaan yang tinggi di pasaran

Apa-apa pun, perjalanan di Kedah memang menarik kerana terdapat pelbagai pilihan makanan. Ada banyak lagi lokasi tidak kami pergi dan jika anda juga ada lokasi yang menarik, boleh juga kongsikan kepada kami di ruangan komen.

Kami kongsikan lagi beberapa gambar di market. Sebut betul-betul ya, merket. Jika salah, betulkan kami.









Sekiranya anda bercuti di Alor Setar, jangan lupa singgah di Merket Kampung Berjaya Alor Setar ini ya!