Search

Kisah Pengalaman Manis "Wajib Bertanya Halal' Walau Di Gerai Kecil Di Jepun

Bisnes kecil, berjiwa besar.

Minggu lepas saya sekeluarga berkunjung semula ke gerai tepi jalan yang kami temui sewaktu cuti ‘Golden Week’ yang lalu.

Pada asalnya, sejurus pertemuan kali pertama tempohari hati saya membuak ingin sangat kongsikan perbualan isteri dengan pemilik gerai tepi jalan ini.

Tapi hasrat saya ditahan isteri, kerana dia mahu pergi semula ke gerai itu untuk mendapatkan pengesahan. Isteri saya sangat risau jika maklumat yang bakal dikongsikan kurang tepat.

Maklumlah, saya hanya pandai melontarkan soalan. Isteri pula yang terpaksa menyusun dan memahami ayat dalam Bahasa Jepun.

Sepertimana yang pernah saya kongsikan sebelum ini. Sepanjang setahun lebih di Jepun, inilah kali pertama kami terlihat gerai kecil di tepi jalan.


Gerai Kecil Tepi Jalan



Gerai berpayung dan turut menyediakan meja makan di luar sambil boleh minum kopi di tepi jalan besar merupakan suatu pemandangan yang agak asing di sini. Suasana seperti ini mengingatkan kami akan gerai menjual cendol, mee kari, laksa, pisang goreng dan pelbagai lagi yang dijual di tepi-tepi jalan tanahair.

Sewaktu kunjungan kali ke dua, seperti biasa kelihatan beberapa orang sedang beratur menunggu giliran mereka. Di Jepun, suasana beratur panjang boleh dikatakan lumrah buat mereka.

Sengaja kami menunggu gerai ini lengang agar soalan-soalan yang bakal ditanya nanti tidak menganggu operasi bisnes gerai ini.

Bila tiba giliran kami, lantas isteri saya bertanya:

“Sumimasen, shitsumon ga chotto arimasu kara oshiete itadakemasenka (Maaf, saya ada soalan nak tanya sikit. Boleh tolong beritahu).”

Sepanjang berada di sini, apa yang saya perhatikan tidak kiralah sama ada isteri mahupun anak-anak bertanya soalan. Biasanya, soalan-soalan tersebut akan dijawab dan disambut baik dengan senyuman manis yang sentiasa terukir dibibir para peniaga Jepun yang kami temui.

Seperti biasa, tanda angguk dengan ucapan ringkas “hait” respon peniaga tersebut menandakan isteri saya boleh teruskan dengan soalan yang berikutnya.

“Kono donatsu to maffin no zairyo wa doudesuka. Shokubutsu yurai kara desuka. Doubutsu yurai kara desuka (Donut, muffin dan lain-lain yang ada kat sini, bahan-bahannya dibuat daripada apa ya. Daripada sumber haiwan ke ataupun tumbuh-tumbuhan).”

“Zairyo desuka. Kona to bataa to satou desu. Doubutsu yurai hattenai deshita (Bahan-bahannya adalah tepung, ‘butter’ dan gula. Memang tiada bahan dari sumber haiwan)”, jawab peniaga ini.


Keadaan Gerai



“Wakarimashita. Watashitachi musurimu desukara, margerin toka, shotoningu toka, nyukazai toka wa, shokubutsu yuurai dattara daijoubu desu. Demo doubutsu yuurai kara, taberarenai. Arukoru mo damedesu (Ooo..saya dah faham. Oleh kerana kami orang Islam, bahan-bahan seperti marjerin, ‘shortening’, dan ’emulsifier’ yang boleh dimakan jika dari sumber tumbuh-tumbuhan. Jika daripada sumber haiwan tak boleh. Alkohol pun tak boleh)”, jelas isteri saya lagi.

“Soudesuka (Oh ye ke)”, tanda faham peniaga itu.

“Gomen ne, bataa wa gyunyu ga arimasu (Maaf ya ‘butter’ ini susu lembu”, sungguh-sungguh peniaga ini meminta maaf.

“Bataa to gyunyu wa daijoubu (‘Butter’ dan susu lembu tu boleh)”, jelas isteri saya.

“Sokka (Gitu ke)”, peniaga ini baru mengerti.

“Arukoru to doubutsu yuurai kara ja arimasen (memang tiada alkohol dan bahan daripada sumber haiwan)”, disahkan sekali lagi peniaga itu. Jelas tampak senyuman manis peniaga ini dengan gaya ‘angguk-angguk’ yang tidak lekang.

Sudah menjadi lumrah bagi mereka yang berada di luar negara akan merasai sedikit kesukaran dan keraguan untuk membeli bahan makanan halal pada peringkat awal. Di Jepun, kita memerlukan sedikit masa kerana bahasa dan tulisan yang sudah pastinya berbeza.

Namun, lama-kelamaan kita akan terbiasa dan lebih mudah jika kita boleh membaca, berkomunikasi dan menghafal beberapa tulisan Jepun sama ada dalam bentuk hiragana, katakana atau kanji.

Umumnya kebanyakan kandungan bahan makanan ditulis dalam bentuk kanji. Oleh demikian, jika kita dapat menghafal bentuk-bentuk kanji tersebut akan memudahkan kita mengetahui kandungan bahan makanan yang wajib dielakkan (Haram), yang boleh dimakan (Halal) dan juga bahan yang perlu kita berhati-hati (Syubhah) atau sebaiknya dielakkan jika kita ragu-ragu.

Ini bertepatan dengan maksud hadis daripada Abi’ Abdillah Annu’man bin Basyir RA telah berkata, saya telah mendengar Rasullulah SAW telah bersabda:
“Sesungguhnya sesuatu yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas, dan diantara keduanya ada perkara yang syubhah (samar-samar) yang kebanyakan manusia tidak mengetahui. Maka barangsiapa yang menjaga dirinya dari perkara yang syubhah itu, maka ia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka dia akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana pengembala yang mengembalakan haiwan gembalaannya disekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat-laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.” (HR Bukhari dan Muslim)
Oleh kerana gerai kecil ini menjual muffin dan donut yang dibuat di situ, maka sebaiknya untuk mengetahui status boleh dimakan atau tidak kami perlu bertanyakan terus dengan peniaga ini.


Muffin Dan Donut Segar.


Peringkat awal lagi kami tertarik dengan gerai ini kerana dipaparkan maklumat menggunakan ‘butter’ 100%. Namun, masih perlu bertanya dan mendapatkan pengesahan daripada peniaga.

Biasanya para peniaga di Jepun sangat mesra. Mereka akan cuba sedaya-upaya menerangkan kepada kita tentang kandungan bahan-bahan yang mereka gunakan. Jika tidak jelas, mereka sendiri akan memohon maaf kerana tidak dapat menerangkan kepada kita.

Masih ingat satu peristiwa berkaitan satu menu baru yang kami ingin cuba di salah sebuah restoran di sini. Anak saya bertanyakan pelayan yang mengambil pesanan kami. Beliau tidak dapat menjawab soalan yang diberikan berkaitan kandungan bahan masakan yang digunakan. Lantas meminta kami tunggu sebentar. Rupa-rupanya beliau memanggil terus ‘chef’ yang bertanggungjawab di dapur. Terkejut kami dengan layanan sebegitu.

Bukan itu sahaja, anak sulung saya pernah juga menelefon sendiri syarikat pengeluar biskut hanya semata-mata inginkan pengesahan ’emulsifier’ yang digunakan pada biskut. Ini kerana anak-anak saya menerima omiyage (cenderahati) biskut yang diberikan salah seorang rakan nihonjin (orang Jepun) sewaktu berkunjung ke rumah kami.

Memanglah pada bungkusan tertera maklumat bahan-bahan. Namun, ada bahan-bahan yang tertera tidak dinyatakan sumbernya dengan jelas. Sebagai contoh, ada ‘margerin’ dan ‘shorterning’ yang mungkin dibuat daripada sumber-sumber tumbuhan atau haiwan. Hanya dengan menelefon pihak pengeluar sendiri kita akan mendapat maklumat yang jelas. Kebiasaannya, maklumat yang diberikan oleh mereka boleh dipercayai.

Peringkat awal dulu rasa malu juga untuk bertanyakan soalan. Setelah isteri dan anak-anak mulai fasih serta memahami bahasa Jepun, maka kami tidak lagi segan untuk bertanya. Lebih-lebih lagi dengan budaya peniaga Jepun yang berjiwa besar akan cuba membantu dan menerangkan kepada para pelanggan mereka meskipun kebanyakan mereka tidak tahu berbahasa Inggeris.

Kami sangat memahami bahawa mencari dan bertanyakan yang halal itu adalah wajib. Jika meragukan, kami lebih suka untuk meninggalkannya.

Berbalik kepada kisah gerai kecil tepi jalan ini. Setelah soalan-soalan kami dijawab dengan baik, kami bertambah yakin untuk menikmati beberapa muffin atau donut yang dijual.



Ichigo Muffin


Ichigo Muffin Dan Kekusando Muffin

Kali ini kami memilih untuk membeli ‘ichigo muffin’ (muffin strawberi) dan ‘kekusando muffin’ (muffin kacang hijau ditabur serbuk teh hijau) yang sangat menarik perhatian kami.

Apabila kami hendak pulang, peniaga tersebut begitu gembira sekali kerana kami sudi membeli di gerainya. Apabila nampak anak kami yang bongsu, lantas dia menghulurkan donut buat anak saya sebagai tanda persahabatan terjalin.

Sewaktu menerima donut itu lantas anak saya berkata:

“Watashi onee chang futari irunode mitsu morattemo iidesuka (saya ada dua orang kakak, nak dapat 3 (donut ini) boleh tak.”

Malunya apabila kami mendengar ayat ‘power’ anak bongsu saya yang terkenal dengan sikap selambanya dan petah berkata-kata. Untung kali ini anak saya menemui ‘peniaga kecil berjiwa besar’. Kami pulang tersenyum lebar bersama 3 donut coklat yang diberikan percuma.

Apa yang boleh saya katakan, pengalaman ini memberikan kefahaman kepada kami biarlah bisnes kita kecil, yang penting perlu berjiwa besar untuk memberikan yang terbaik.

Anak bongsu saya

Produk dan perkhidmatan yang terbaik daripada jiwa yang besar ini pastinya akan menjadi kenangan yang terindah buat para pelanggan.

Oleh itu, bagi mereka yang berbisnes usahlah malu berbisnes kecil, yang penting kita ada impian dan jiwa yang besar untuk merealisasikan impian kita agar menjadi kenyataan.

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.