Search

15 Destinasi Percutian Menarik Di Indonesia Ini Paling Banyak Dimuat Naik Di Instagram


Sebagai sebuah negara yang memiliki banyak pulau, Indonesia merupakan antara destinasi  percutian yang mudah untuk dikunjungi oleh rakyat Malaysia.
Kali ini kami senaraikan 15 lokasi menarik di Indonesia yang banyak dimuat naik di instagram oleh para traveler.
1. Taman Negara Rinjani
taman-negara-gunung-rinjani
Dengan ketinggian 3,736 meter, Gunung Rinjani merupakan gunung tertinggi di Indonesia. Lelah dan penat selepas melalui jalan yang mencabar untuk ke puncak gunung ini pastinya hilang sebaik saja melihat keindahan yang terbentang di depan mata. Sewaktu pendakian, anda boleh berehat seketika dan menikmati pemandangan indah di Tasik Segara Anak yang menyajikan kolam air panas. Setibanya di puncak, anda bakal menyaksikan puncak tertinggi di Bali nun di seberang lautan – Gunung Agung.
2. Bali
bali
Sebut saja Bali pastinya ramai traveler yang tahu di mana lokasinya. Terkenal sebagai salah satu dari destinasi popular di dunia, Bali telah beberapa kali dianugerahkan sebagai pulau paling menarik untuk dikunjungi oleh majalah The International Travel Magazine.
Meskipun terkenal, masih ramai yang tidak begitu tahu keunikan sebenar pulau ini yang masih memelihara adat dan budaya setempat. Kehidupan penduduk asal Bali sentiasa berkait rapat dengan  Tri Hita Kirana atau konsep tripartite – hubungan rapat antara tuhan, manusia dan alam. Anda berpeluang melihat banyak pokok-pokok besar di Bali terutama pokok Banyan yang ditanam di mana saja termasuk di kampung-kampung, di lereng gunung, di kuil malah di pusat membeli belah juga.
3. Pulau Raja Ampat, New Guinea
raja-ampat
Terdiri dari sekitar 1600 buah pulau tidak berpenghuni, kepulauan Raja Ampat menawarkan pengalaman menyelam skuba antara yang menarik di dunia. Hanya mulai terkenal di kalangan pelancong sejak beberapa tahun ke belakang, kepulauan Raja Ampat pastinya menjadi lokasi idaman bagi para penyelam skuba dan penggemar aktiviti snorkeling dengan berbagai hidupan marin dan rangkaian terumbu karangnya yang unik.
4. Prambanan, Jogjakarta
prambanan-yogjakarta-2




Antara tarikan utama di Jogjakarta adalah Chandi Prambanan yang dibina pada kurun ke 10 sewaktu pemerintahan 2 raja iaitu Rakai Pikatan dan Rakai Balitung.
Chandi yang memiliki ketinggian 47 meter (5 meter lebih tinggi dari Chandi Borobudur) menjadi simbol kegemilangan pemerintahan dan agama Hindu yang pernah dianuti di Pulau Jawa ini pada satu ketika dahulu. Terletak 17 km dari pusat bandar, chandi ini menjadi sebahagian dari tarikan utama di sini.
5. Taman Negara Komodo, Nusa Tenggara
pulau-komodo-2
Komodo adalah sebuah pulau yang dihuni oleh sekitar 2000 penduduk. Pada satu ketika dulu Komodo merupakan lokasi hukuman buang daerah ke atas pesalah yang melakukan jenayah. Dengan keluasan 390km persegi dan merupakan sebahagian dari Taman Negara Komodo, pulau ini terkenal dengan binatang pra sejarah yang masih wujud di sini iaitu biawak Komodo.
6. Gunung Bromo, Jawa
gunung-bromo
Untuk ke Gunung Bromo anda perlu menempuh perjalanan sejauh 4 jam melalui jalan darat dari Surabaya. Gunung Bromo merupakan sebahagian dari Taman Negara Bromo Tengger Semeru yang merangkumi kawasan seluas 800 km persegi.
Dengan ketinggian 2392 meter, gunung Bromo bukanlah gunung tertinggi di Indonesia tetapi ia tetap menjadi perhatian para travele kerana pemandangan menarik yang disajikan dari puncaknya.
7. Air terjun Sipiso-piso, Medan
sipiso-piso
Terletak di utara pulau Sumatra, anda boleh melihat keindahan air terjun Sipiso-piso di bahagian utara Tasik Toba, 24 km dari Kabanjahe. Air terjun yang mengalir laju terjun ke lembah sedalam 120 menjadikan Sipiso-piso lokasi tumpuan bagi fotografer. Dikelilingi tumbuhan menghijau dan gunung ganang, serta pelangi yang menjelma di sekitar air terjun menjadikan Sipiso-piso lokasi sempurna untuk fotografi yang menarik.
8. Jayapura, Papua Timur
jayapura
Jayapura yang terletak di Papua Timur menjadi lokasi tumpuan bagi traveler yang ingin memulakan pengembaraan di Papua. Menawarkan berbagai aktiviti menarik antaranya treking di Lembah Baliem, menyiapkan thesis anda tentang hidupan liar di pusat pemeliharaan buaya, atau merakam panorama indah dan budaya masyarakat setempat di sekitar Tasik Sentani. Anda juga boleh meluangkan masa meninjau seluruh bandar ini dari atas puncak bukit menara telekomunikasi tidak jauh dari bandar ini.
9. Danau Tiga Warna atau Danau Kelimutu, Pulau Flores
danau-kelimutu
Kelimutu adalah gunung berapi berhampiran bandar kecil Moni di pusat Pulau Flores di Indonesia. Gunung berapi ini mengandungi 3 tasik kawah dengan 3 warna berbeza. Air di Tiwu Ata Mbupu (Danau Orang Tua) biasanya berwarna biru dan merupakan paling barat dari 3 tasik.
2 tasik lagi adalah Tiwu Nuwa Muri Koo Fai dan Tiwu Ata Polo dipisahkan oleh dinding kawah dan biasanya masing-masing berwarna hijau dan merah. Warna tasik juga boleh berubah dengan sendiri dan bertukar ke warna hijau dan hijau kehitaman.
10. Jembatan Cikubang, Bandung
jembatan-cikubang
Apa yang menarik dengan jambatan keretapi sepanjang 300 meter yang menghubungkan Bandung dan Jakarta ini adalah pemandangan indah yang dapat dilihat dengan jelas dari jalan raya antara Plered dan Padalarang.
Jambatan ini mula digunakan sejak tahun 1906 sewaktu zaman pemerintahan Belanda, dan masih berdiri kukuh sehingga ke hari ini.
11. Tasik Tempe, Makassar
tasik-tempe
Bandar Sengkang yang terletak mengadap tasik ini merupakan pusat pemerintahan bagi kerajaan Bugis satu ketika dulu. Sehingga ke hari ini adat, budaya dan kesenian Bugis masih terlihat jelas dan dipelihara dengan baik antaranya – pakaian tradisi Bugis yang berwarna warni, tenunan sutera secara tradisional serta adat perkahwinan dan tarian Bugis.
Di Tasik Tempe juga anda berpeluang melihat dan merasai suasana tinggal di rumah bot tradisional dan melihat beberapa spesies burung liar yang terdapat di sini.
12. Telaga Warna Dieng, Semarang
dieng-semarang
Selain dari terdapat beberapa candi di sekitarnya yang dipelihara dengan baik sejak sekian lama, Telaga Dieng turut menyajikan sebuah tasik dengan warna airnya yang berubah-ubah dari hijau, kuning hingga berwarna pelangi. Kandungan sukfur yang tinggi merupakan faktor utama mengapa warna airnya berubah apabila terkena sinaran matahari.
13. Tana Toraja, Sulawesi
tana-toraja
Terkenal dengan amalan suku kaum Toraja yang masih mengekalkan amalan tradisi kuno seperti mengorbankan lembu dan khinzir sebagai pesta dan upacara meraikan ahli keluarga yang meninggal.  Cara mengebumikan mayat di sini juga unik iaitu meninggalakn mayat di celah-celah batu dilereng bukit.
tana-toraja-1
Kunjungan anda ke sini pastinya menyediakan suatu pengalaman yang sangat berbeza berbanding lokasi lain di Indonesia.
14. Pantai Merah Jambu, Lombok
Pantai-pink-lombok
Pantai ini merupakan salah satu dari 7 pantai di dunia yang memiliki pasir pantai berwarna pink. Warna pink pada pasirnya terbentuk hasil campuran pasir putih dengan serpihan batu karang merah. Biasan sinar matahari dan ombak laut menjadikan warna pink semakin jelas kelihatan di pantai ini. Pantai ini juga sangat tenang dengan pukulan ombak yang perlahan pasti membuat anda terleka sewaktu berada di sini.
15. Candi Borobudur, Magelang
Beyond Borobudur || Java Indonesia
Candi yang kekal berdiri megah dan telah wujud lebih lama sebelum Angkor Wat di Kemboja dan gereja-gereja lama di Eropah dibina ini telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Sejarah Dunia oleh Unesco.
Memiliki 2672 ukiran di dindingnya, jika ukiran ini disusun ia adalah sepanjang 6 km. Diwartakan sebagai kompleks agama Budha terbesar di dunia, Candi Borobudur menawarkan artistik dan senibina purba yang tak ternilai.
Sumber : Says.com , Gambar : Google
Untuk ke lokasi di atas, anda boleh memilih penerbangan tambang murah sama ada Air AsiaMalindo Air atau Firefly.