Search

5 Tip Sebelum Anda Melangkah Keluar Dari Lapangan Terbang Melbourne, Australia



Ringkasan pengembaraan ke Melbourne:
1. Bilangan ahli rombongan: 13 orang
2. Tempoh bercuti: 8 hari 7 malam
3. Musim bercuti: luruh (autumn)
Sebelum nak gebang pasal itinerari, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan.
1. PENERBANGAN




Sebelum sampai di Melbourne Tullamarine Airport, kena naik kapal terbang dulu. Oleh kerana Malindo Air hanya ada penerbangan sehingga ke Perth sahaja, pilihan kos rendah yang kedua terbaik sudah tentu Air Asia X.
Hanya dua syarikat penerbangan yang menyediakan penerbangan terus (direct flight) ke Melbourne – Air Asia X dan Malaysia Airlines.
Kos penerbangan dengan Air Asia X lebih kurang 30 peratus lebih murah dari Malaysia Airlines – termasuk kos bagasi, makan (1 set meal) dan pilihan kerusi.
Harga tiket yang lebih murah boleh didapati ketika ada promosi. Memandangkan penerbangan tempoh hari adalah pada waktu cuti sekolah, jangan harap nak dapat tiket paling murah.
Kos penerbangan Air Asia X:
RM1,749 (return) termasuk bagasi 20 kg, 1 set makanan dan pilihan tempat duduk awal.
Penerbangan ke Melbourne pada hari Ahad jam 10:30 malam, manakala penerbangan pulang ke KLIA2 adalah pada hari Sabtu jam 10:35 pagi. Kos penerbangan mungkin lebih murah jika perjalanan dibuat di pertengahan minggu.
Kenapa saya pilih penerbangan pada waktu malam?
Jimat kos penginapan di Australia. Walaubagaimanapun, tidur dalam kapal terbang tidak begitu selesa jika badan sado seperti saya.
Makanan yang dibeli boleh disimpan sehingga akhir penerbangan untuk dijadikan sarapan pagi.
Seluruh hari boleh digunapakai untuk bersiar sementara menanti check in di penginapan.







2. VISA
Jangan lupa untuk mendapatkan visa sebelum bertolak ke Melbourne. Permohonan visa hanya boleh dibuat secara atas talian (online). Ada dua kaedah yang boleh digunapakai.
A. Melalui border.gov.au, dengan kadar AUD 20 (jangan lupa convert)
B. Melalui agen yang mengenakan bayaran antara RM 20 hingga RM 50.
Saya menggunakan kaedah (B). Mula–mula risau juga, takut kena scam, tapi setelah ramai rakan rapat yang menggunakan khidmat yang sama, saya menjadi yakin. Alhamdullilah dah balik dari Australia dah ni.
3. SEWA KERETA
Kalau berseorangan atau berdua, adalah lebih sesuai menggunakan pengangkutan awam. Tetapi kalau dah sampai 13 orang dalam rombangan, kereta sewa adalah lebih baik.
Untuk percutian kali ini, saya menyewa sebuah Hyundai Imax (Strarex) 8 tempat duduk dan sebuah Hyundai Elantra 5 tempat duduk.
Ingat ye, tiada istilah meriba anak kecil. Setiap penumpang perlu ada tempat duduk khas dan bertali pinggang. Kanak–kanak wajib memakai booster seat atau baby seat.
Syarikat yang menjadi pilihan hati adalah Apex Car Rentals. Ia menawarkan pakej yang paling murah berbanding syarikat lain seperti Hertz, Avis dan Budget.com.
Kos kenderaan termasuk insuran dan bantuan di jalanan (zero excess) untuk 7 hari adalah:
Hyundai Starex – AUD 815.46
Hyundai Elantra – AUD 470.1
Total = AUD 1285.56 = RM 4380.75 (AUD 1 = RM 3.41)
Kereta sewa dibekalkan dengan GPS percuma (tempoh promosi) dan tangki minyak yang penuh. Pastikan kenderaan diperiksa dengan cermat dan segala cacat cela direkod dalam borang yang disediakan. Tangkap gambar bahagian yang terlibat untuk bukti yang lebih kukuh.
Satu masalah dengan Apex adalah, pejabat urusannya terletak 5 minit perjalanan dari lapangan terbang. Walaubagaimanapun, khidmat shuttle disediakan untuk ke pejabat urusan.
Jika kenderaan ingin dihantar atau diambil diluar waktu pejabat, kenderaan sewa akan diletakkan di Quality Hotel. Khidmat shuttle juga disediakan. Cuma perlu tambah AUD 40 sebagai bayaran tambahan.




4. PENGINAPAN
Sebolehnya, tempah penginapan dengan lebih awal untuk mengelakkan kecelaruan. Bayangkan nak cari tempat yang boleh muat 13 orang. Nasib baik ada AirBnB.
Tempahan rumah sewa AirBnB sangat sesuai untuk kumpulan yang besar. Harga secara purata juga adalah lebih murah berbanding menyewa bilik hotel. Tambahan lagi, kebanyakan AirBnB menyediakan ruang dapur yang lengkap untuk tetamu memasak.
Tips untuk sewa AirBnB dengan berkesan dan tenang:
1. Tempah rumah atau bilik dari hos yang menerima banyak komen positif dari tetamu mereka. Kalau boleh elakkan hos yang belum pernah ada tetamu yang memberi komen.
2. Hubungi dahulu hos secara personal sebelum membuat tempahan. Tanya sebanyak yang boleh berkenaan rumah yang hendak disewa. Jangan segan–segan. Kebanyakan hos amat gemar melayan pertanyaan tetamu secara berhemah.
3. Sebelum menaiki pesawat ke Melbourne, hubungi hos dan beritahu dengan jelas bila anda dijangka tiba. Jangan lupa untuk memberikan nombor telefon tempatan setelah anda memperoleh kad SIM. Biasanya, hos akan memberitahu cara–cara untuk membuka lock box yang menyimpan kunci rumah.
4. Jaga rumah dengan baik. Telitikan ‘house rules’ yang ditetapkan dan hormati tatacara yang telah ditetapkan. Di Melbourne, hos akan menitikberatkan cara pembuangan sampah. Pastikan barang yang boleh dikitar semula diasingkan dan dibuang dalam tong sampah berasingan.
5. KAD SIM
Sebelum jejak kaki keluar dari lapangan terbang, jangan lupa beli kad SIM tempatan. Dengan adanya SIM tempatan, lebih mudah untuk anda berhubung dengan keluarga dan tak lupa juga untuk navigasi menggunakan Waze.
Di arrival hall, ada kedai Optus yang menjual kad SIM prabayar dengan kadar yang agak berpatutan. Pakej untuk 7 hari penggunaan adalah sebanyak AUD 15.
Ia memberikan panggilan tempatan dan SMS tanpa had serta 500 MB data internet sehari. Cukup untuk kegunaan harian. Jangan streaming video sudah.