Search

Menteri puji kru AirAsia profesional, berani hadapi suasana cemas



Liow Tiong Lai berkata, juruterbang menangani suasana cemas secara profesional serta bertindak pantas dan tangkas untuk melindungi keselamatan penumpang,” kata Liow.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini memuji juruterbang dan kru kabin pesawat AirAsia X yang berjaya menangani suasana cemas dalam penerbangan D7237 secara profesional dan berani.

“Saya pandang serius insiden ini dan mengarahkan ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam serta pihak berkuasa berkaitan menyiasat punca kejadian serta memaklumkan penemuan kepada awam setelah siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan.

Penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur itu terpaksa berpatah balik selepas Airbus A330 yang membawa 356 orang mengalami masalah teknikal setelah berlepas pada Ahad.

“Juruterbang menangani masalah itu secara profesional serta bertindak pantas dan tangkas untuk melindungi keselamatan penumpang,” kata Liow.

Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada 10 pagi Ahad dan semua penumpang dipindahkan ke penerbangan seterusnya atau penerbangan gantian pada 11.40 malam hari sama.

“Saya juga memuji kru kabin dan kru darat AirAsia X atas komitmen tidak berbelah untuk mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi dalam mengendalikan penumpang serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka,” kata menteri itu.

Liow meluahkan keyakinan AirAsia dan sekutunya akan terus meletakkan keselamatan penumpang dan krunya sebagai perkara paling utama memandangkan syarikat penerbangan itu mempunyai rekod keselamatan cemerlang sebelum ini.

“Saya percaya syarikat penerbangan ini akan memastikan keselamatan kekal sebagai tonggak kekuatan dan pertumbuhannya,” katanya.