Search

Pesawat Malindo mendarat di Delhi kerana masalah enjin


















Malindo Air OD132 dari Lahore ke Kuala Lumpur pada Ahad terpaksa mendarat di Delhi kerana mengalami masalah enjin.

Pesawat tersebut berlepas dari Lahore sekitar 9.25 malam waktu tempatan pada 25 Jun dan sepatutnya mendarat di Kuala Lumpur.
Kecemasan bagaimanapun mendesak juruterbang mengikut tatacara operasi standard dan mendarat di Dehlhi.
Menurut kenyataan Malindo hari ini, penerbangan itu berjaya mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gandhi.
“Semua 75 penumpang selamat dan diberi penginapan 1 malam di hotel lapangan terbang Delhi. Penumpang akan dihantar ke Kuala Lumpur menaiki OD206 & OD208 pada hari berikutnya, “katanya.
Kenyataan itu berkata krew teknikal Malindo Air dihantar ke lapangan terbang dengan segera untuk melakukan pemeriksaan bersama dengan pengendali teknikal Jet Airways.
Ia menambah penyiasatan bersama pengeluar enjin dan Boeing sedang dijalankan untuk menentukan punca isu.
Peristiwa itu menyamai kejadian membabitkan pesawat AirAsia X D723, yang berlepas dari Perth untuk Kuala Lumpur pada pagi yang sama dengan 359 penumpang.
Pesawat Airbus A330 dari Perth ke Kuala Lumpur mengalami masalah teknikal kira-kira 90 minit selepas memulakan penerbangan.
Letupan dikatakan berlaku di bahagian enjin kiri di mana salah satu kipas pada turbin pecah. Pesawat itu seolah-olah “bergegar seperti mesin basuh” menurut beberapa penumpang yang dihubungi media Australia.
Pesawat mendarat dengan selamat di Perth pada 10.00 pagi.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata ia sedang menyiasat kejadian itu.
Menurut AFP, kejadian itu adalah yang ke-2 pada bulan ini yang melibatkan pesawat Airbus A330 di Australia.
Sebelum ini, penerbangan China Eastern terpaksa membuat pendaratan cemas di Sydney selepas anak kapal mendapati ada lubang besar pada perumah enjin.