Search

Siasatan kegagalan enjin AirAsia ambil masa beberapa bulan






















Insiden itu boleh menjadi malapetaka, kata pakar penerbangan ketika pihak berkuasa Australia dan AirAsia memulakan siasatan berasingan ke atas kejadian pada Ahad lalu.
Ia akan mengambil masa beberapa bulan sebelum pihak berkuasa dapat menemui punca pesawat AirAsia X dalam perjalanan dari Perth ke Kuala Lumpur dipaksa berpatah balik ke Perth, kelmarin.
Penerbangan D7237 dalam perjalanan ke Kuala Lumpur pada pagi Ahad lalu dengan 359 penumpang dan kru, sudah terbang kira-kira 90 minit apabila pesawat Airbus A330 itu mengalami masalah.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sudah memulakan siasatan ke atas insiden itu.
ATSB dalam satu kenyataan berkata, kerosakan enjin dalam penerbangan menyebabkan pesawat itu mengalami getaran udara sederhana dan kru “memilih untuk berpatah balik ke Perth”.
“ATSB akan menemubual kakitangan terbabit dan mengumpul maklumat tambahan. Satu laporan akan dikeluarkan dalam masa beberapa bulan.”
Biro itu juga akan menyiasat kenapa pesawat terbabit tidak dilencongkan ke Lapangan Terbang Learmonth yang terletak berhampiran, jarak hanya 25 minit berbanding kembali ke Perth sejauh 90 minit penerbangan.






AirAsia berkata, ia sudah memulakan siasatan bersama pengeluar enjin Rolls-Royce. Ia juga akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan ATSB.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata: “Kumpulan AirAsia sentiasa mematuhi program penyelenggaraan ditetapkan pengeluar kami. Di Australia, Kumpulan AirAsia sering lulus audit keselamatan yang dilakukan pihak berkuasa penerbangan tempatan.”
Sementara itu, seorang bekas pemeriksa dan kapten latihan Airbus A330 memberitahu Perthnow, pesawat AirAsia X mungkin kehilangan keseluruhan enjinnya.
Kapten yang tidak dinamakan itu dilaporkan berkata: “Apabila enjin mengalami getaran teruk, ia perlu ditutup segera kerana kerosakan sangat besar mungkin berlaku.
“Enjin boleh tercabut daripada sayap dan ia akan menjadi malapetaka. Saluran minyak (boleh) pecah dan elektrik mengalami kerosakan teruk atau degradasi.
“Ia perlu ditangani seperti kebakaran enjin. Dan selepas ditutup, jika ia berputar bebas dengan sebilah kipas hilang dan getaran teruk berterusan, anda perlu melencong ke lapangan terbang terdekat yang sesuai.”
Seorang penumpang menyifatkan pesawat itu “bergegar seperti mesin basuh”.
Perthnow berkata, difahamkan masalah itu membabitkan kegagalan sebilah kipas di enjin nombor 1 dan seterusnya menyebabkan komponen hidraulik dan 1 pam minyak musnah sebelum “ditelan” enjin.
Perthnow memetik seorang “pakar enjin” sebagai berkata, kemungkinan kipas yang hilang keseimbangan berputar selepas enjin ditutup dan masih boleh menyebabkan getaran berfrekuensi rendah.
Beliau berkata, ia adalah “kerosakan agak besar” dan hanya 2 faktor mempengaruhinya: kecacatan ketika pengeluaran atau pemeriksaan berkualiti rendah semasa penyelenggaraan.