Search

Pertama Kali Tinggal Di Hostel? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu.



Semua orang pernah merasai kebimbangan pengalaman pertama kali melakukan sesuatu – atau untuk entri kali ini, pertama kali tinggal di hostel. Semestinya akan banyak persoalan yang mula timbul di dalam kepala anda. Bersih ke? Selamat tak? Macam mana pula dengan roommate? Orang-orang di sana boleh berbahasa Inggeris ke?

Jika ini merupakan kali pertama anda tinggal di hostel sewaktu travel, jangan takut! Untuk entri kali ini, kami akan kongsikan dengan anda tentang apa yang patut anda expect, tips untuk memilih dan tinggal di hostel, serta barang-barang yang perlu dibawa untuk memastikan keselesaan anda sepanjang berada di sana. Basically, artikel kali ini adalah ‘the ultimate guide’ untuk anda yang baru berjinak-jinak dengan tempat ini sewaktu travel!

Apa yang patut anda expect?

Mungkin sebelum ini anda sudah biasa tinggal di hotel atau guesthouse/homestay seperti yang tersenarai di dalam Airbnb. Jadi mungkin anda tertanya-tanya, selain lebih murah, apa lagi yang ada dengan hostel yang tak boleh anda dapatkan jika anda tinggal di hotel? Ha. Banyak sebenarnya, tau!





Pengalaman tinggal di hostel boleh jadi antara pengalaman travel yang paling menyeronokkan yang pernah anda rasai! Kalau tak percaya, cuba anda tanya kepada kawan-kawan anda yang biasa tinggal di hostel sewaktu mereka travel. Anda akan berjumpa dengan orang-orang dari seluruh pelusuk dunia dan dari pelbagai bangsa dan latar belakang berbeza. Ada yang meninggalkan segala-galanya yang mereka ada untuk travel satu dunia. Ada pula yang travel tanpa perancangan kerana ingin start fresh dan mengubah hidup mereka. Ada juga yang sekadar bercuti dan tinggal di hostel untuk beristirehat dari kehidupan mereka yang sibuk. Macam-macam jenis orang yang anda akan jumpa dan kenali di hostel nanti. Anda juga boleh berkongsi kisah anda dengan kawan-kawan baru di sana nanti.

Hostel

Berkenaan tentang apa yang anda patut expect, kebiasaanya hostel menawarkan pilihan antara dorm room (bilik asrama) dan private room. Untuk dorm room, kebanyakan mereka mempunyai beberapa pilihan asrama, iaitu female-only atau male-only dorm, dan juga mixed dorm, iaitu lelaki dan wanita tinggal sekali di dalam satu asrama. Pilihlah mengikut kesesuaian dan keselesaan anda. Untuk lebih afdal, cuba hubungi hostel yang anda ingin tempah itu untuk dapatkan kepastian tentang pilihan yang ada. Dan jangan risau, selalunya loker peribadi juga ada disediakan di dalam bilik asrama. Tapi anda perlu bawa kunci mangga anda sendiri kerana yang dijual di sana kebiasaannya agak mahal. Kebanyakan hostel juga ada Wi-Fi, kemudahan dobi, serta ruang dapur dan tempat makan, di mana anda boleh gunakan untuk memasak makanan anda sendiri tanpa sebarang kos tambahan. Boleh jimat duit kerana tak perlu beli makanan di luar, betul tak?

Anda perlu tahu bahawa hostel dan hotel berbeza dari segi servisnya. Hostel tiada daily maid services seperti di hotel, tetapi jangan risau kerana kebersihan tetap terjaga. Di dalam bilik juga jarang disediakan TV. Tetapi kebanyakan hostel sekarang ada common room, atau bahasa mudahnya, bilik untuk bersantai. Di sini, biasanya, ada tersedia komputer, TV, board games, bahan bacaan, vending machines dan banyak lagi untuk pengunjung bersantai dan meluangkan masa dengan traveler lain. Hostel sememangnya tempat yang terbaik untuk traveler bersosial. Lebih-lebih lagi untuk solo traveler. Di sinilah anda boleh berjumpa dan berkenalan dengan kawan-kawan baru!

Bagaimana untuk memilih hostel?

Nak pilih tempat tinggal ini boleh diibaratkan seperti memilih kasut – ada banyak jenis kasut yang cantik-cantik tapi anda perlu pilih yang paling selesa untuk anda. Perkara pertama yang anda perlu tahu adalah berkenaan dengan atmosfera hostel tersebut. Adakah ianya hostel bajet, family-friendly, atau lebih kepada party hostel? Anda boleh semak online review daripada pengunjung yang pernah tinggal di situ untuk mendapatkan idea tentang hostel tersebut. Pilihlah mana-mana yang anda suka asalkan anda bahagia.


Seterusnya adalah keselamatan. Jika anda ada terbaca sesuatu yang membuatkan anda berasa was-was, lebih baik anda elakkan terus hostel tersebut. Untuk hal ini juga anda boleh semak daripada review dan rating pengunjung yang pernah tinggal di sana.



Satu lagi faktor penting dalam pemilihan hostel adalah, of course, lokasi. Adakah ianya berdekatan dengan tempat atau tarikan-tarikan pelancongan utama di mana anda boleh berjalan kaki sahaja untuk sampai ke sana? Atau anda ingin menaiki metro? Berapa jauh pula jarak antara hostel tersebut dengan stesyen kereta api atau lapangan terbang? Ada tak restoran atau kedai makan di sekitar kawasan tersebut? Pastikan anda pilih betul-betul, ya.



Akhir sekali adalah kemudahan asas yang disediakan sesuai dengan apa yang anda cari. Untuk ini, anda perlu tahulah apa yang anda perlukan atau mahukan sepanjang anda tinggal di hostel nanti. Adakah mereka menyediakan loker peribadi di dalam bilik asrama? Adakah tuala juga disediakan? Sarapan pagi? Kemudahan dobi? Ada tak lawatan atau tour ditawarkan bagi pengunjung luar? Untuk anda yang kali pertama tinggal di hostel, adalah penting untuk anda mengetahui kriteria yang anda inginkan dan rancang sewajarnya.

Tips tinggal di hostel:



Seterusnya adalah beberapa tips dan trick untuk memastikan pengalaman pertama anda menjadi pengalaman yang menyeronokkan! Ke mana-mana sahaja anda pergi atau di mana-mana sahaja anda berada, mesti ada etika yang perlu anda ikuti, betul tak? Sama juga, di hostel pun ada etika. Dan anda semestinya tidak mahu berasa awkward kerana tidak tahu apa-apa, kan? Haha. So, untuk anda menyesuaikan diri, ikuti tip-tip di bawah ini:


  • Book penginapan anda awal-awal. Lebih-lebih lagi sekiranya ini merupakan kali pertama anda tinggal di hostel, anda mungkin mahu elakkan daripada berasa pressured akibat daripada menempah last minute.
  • Pernah tak ada pengalaman tinggal sebilik, mungkin sewaktu zaman belajar, dengan orang yang suka snooze alarm sampai berkali-kali tapi sampai ke sudah tak bangun-bangun juga? Ha! Jangan jadi orang seperti itu, ya! Malah, kalau boleh jangan snooze alarm anda langsung. Kesianlah teman-teman sebilik anda yang lain berasa tidak selesa dengan alarm anda.
  • Begitu juga, elakkan daripada membuat sesuatu yang boleh mengganggu keselesaan roommate anda pada waktu yang tidak sepatutnya. Kebiasaannya, lampu akan dipadamkan sekitar tengah malam. Jadi, jika anda memerlukan cahaya, contohnya untuk membaca buku atau mencari sesuatu di dalam beg anda, gunakan lampu kecil, seperti lampu pada smartphone anda sahaja. Hormatilah orang lain sebagaimana anda mahu dihormati, okay?
  • Lagi satu, kebanyakan orang dari negara-negara lain, terutamanya dari negara-negara barat, tidak suka tandas yang basah kerana bagi mereka ianya kurang bersih. Jadi, apabila anda ingin menggunakan tandas, berpada-padalah. Janganlah sampai banjir satu bilik air. Lagi satu untuk Muslim yang ingin mengambil wudhu’, tolong elakkan daripada menggunakan sinki apabila ingin membasuh kaki, ya. Kalau mereka yang lain nampak, anda boleh dimarahi, tau!

Apa yang perlu dibawa?



Senarai di bawah ini bukanlah senarai yang lengkap. Berbeza dengan hotel yang lebih privasi, barang-barang ini mungkin anda akan perlukan apabila anda tinggal di dalam dorm:


  • Ear plugs atau penyumbat telinga.
  • Kunci mangga yang bersesuaian untuk mengunci loker dan backpack.
  • Tuala. Tak semua hostel ada menyediakan tuala.
  • Selipar tandas. Kita tidak tahu keadaan tandas di sesuatu tempat. Lebih baik bersedia dengan selipar tandas daripada berasa tidak selesa apabila ingin menggunakan tandas.
  • Bateri tambahan. Kadang-kala soket plug yang disediakan tidak mencukupi. Jadi, beberapa bateri tambahan untuk gajet anda sangat membantu sekiranya anda berhadapan dengan masalah ini.
  • Dan akhir sekali, bawa-bawalah bersabar. Berkongsi ruang atau bilik dengan orang yang tidak kita kenali boleh membuatkan kita susah hati dan tidak selesa. Tidak mengapa. Semua orang merasai perkara yang sama. Yang penting, anda perlu sentiasa menghormati orang lain di sekeliling anda dan belajarlah untuk berfikiran terbuka dan sentiasa positif supaya anda boleh enjoy sepanjang berada di sana.

Nah! Sekarang anda sudah pun bersedia untuk merasai pengalaman pertama anda tinggal di hostel!

Jika anda pernah dan ada kisah-kisah menarik atau pengalaman-pengalaman yang kelakar sepanjang tinggal di hostel, atau anda ada tip lain untuk travelers yang baru ingin berjinak-jinak dengan hostel, kongsikanlah dengan kami dengan meninggalkan komen di bawah, tau!


Apa-apa pun, jangan risau sangat dan enjoy your stay!